Firman Allah swt dalam surah Ar-Rahmaan ayat 17,

(Dialah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa dua timur dan dua barat dalam ayat tersebut adalah merujuk terbit dan terbenam matahari pada dua musim berbeza, musim panas dan musim sejuk. Ia secara jelas menunjukkan bahawa matahari terbit dan terbenam pada tempat yang berbeza setiap hari. Berdasarkan maksud ayat di atas juga, jelas bahawa fenomena istiwa (rembang, tengahari, transit, noon) tidak sentiasa berlaku di titik ghayah (puncak kepala, zenith) sebaliknya berubah setiap hari pada garis tengahari (meridian tempatan, local meridian). Istiwa di titik ghayah (istiwa utama, a’adzam) hanya berlaku dua kali setahun.
Matahari hanya boleh berada di langit utara sehingga garisan latitud 23.5° Utara (garisan Sartan). Demikian di langit selatan sehingga garisan latitud 23.5° Selatan (garisan Jadi). Mekah, yang berada pada latitud 21.4° Utara, berada di antara dua garisan berkenaan. Ini menyebabkan Mekah termasuk dalam lokasi yang akan mengalami istiwa di titik ghayah – dua kali setahun – ketika matahari menuju ke garisan sartan dan ketika matahari menuju garisan jadi.Malaysia, istiwa mataharinya awal 5 jam sebelum istiwa di Mekah. Justeru, ketika istiwa utama di Mekah/Kaabah, waktu Malaysia adalah 5.16 petang pada 28 Mei, dan 5.28 petang pada 16 Julai, setiap tahun. Pada tahun lompat, tarikhnya adalah pada 27 Mei dan 15 Julai. Namun penggunaan bayang matahari sebagai rujukan arah menyebabkan perbezaan arah pada dua tarikh tersebut adalah kecil. Menjelang tarikh dan masa tersebut, anda hanya perlu bersedia dengan peralatan yang paling ringkas - tongkat atau tiang tegak yang disinari cahaya matahari, dan jam yang telah diselaraskan dengan waktu piawai Malaysia (hubungi talian 1051 untuk membetulkan jam anda). Anda juga boleh menggunakan sisi dinding, tingkap atau pintu yang tegak dan boleh menghasilkan bayang yang lurus.
Apabila jam anda menunjukkan waktu 5.16 petang (28 Mei) atau 5.28 petang (16 Julai), matahari sedang istiwa di atas Kaabah, dan ia menjadi penunjuk sempurna arah mana Kaabah berada. Bayang yang terhasil ketika itu sedang selari dengan arah kiblat tempat anda (bayang akan jatuh ke sebelah timur, arah kiblat adalah ke arah barat/ke arah matahari).

download

0 comments: